Jumat, 30 September 2011

Nabil (Raja Lawak) Sah Bergelar Suami Kepada Nazirah





PUTRAJAYA: Dengan dua kali lafaz, Pelawak dan pelakon, Ahmad Nabil Ahmad, 28, sah bergelar suami kepada bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub, 23.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Masjid Tuanku Mizan, di sini, selepas solat Asar kira-kira pukul 5.15 petang, Jumaat.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Ustaz Mohd Ridza Ahmad berwalikan bapa kepada pengantin perempuan Ayub Hassan.



Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin bernilai RM5,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000.
Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ibu dan keluarga kedua-duapasangan pengantin.
Pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran seperti cincin, duit hantaran, sirih junjung, kasut, “playbook”, alat solek, pewangi dan dibalas sembilanhantaran iaitu coklat, kasut, “PlayStation 3”, I-pad, sejadah, cincin dan sirih junjung.



Pada majlis tersebut, Nazirah anggun mengayakan busana kurung moden rekaan Wazira Zainal.
Sementara majlis resepsi mereka akan diadakan serentak pada Ahad inidi I-City Shah alam berkonsepkan “fairy tale” dan persandingan dalamtaman.

Kamis, 29 September 2011

Irma Hasmie Enggan Hadir Pernikahan Nabil


KUALA LUMPUR: Pelakon Irma Hasmie tidak akan menghadiri majlis pernikahan dan persandingan bekas kekasihnya, Ahmad Nabil Ahmad (Nabil Raja Lawak) yang akan bernikah dengan Nazirah Ayub, Jumaat (hari ini), demi menghormati hari bahagia pelawak itu.
Irma berkata, dia bimbang sekiranya dia hadir, akan timbul perasaan tidak selesa kedua-dua pengantin atau akan menyinggung perasaan keluarga mereka.
“Saya sudah buat keputusan tidak akan hadir pada majlis itu. Lagipun saya tidak menerima kad jemputan perkahwinan daripada Nabil,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis resepsi persandingan Memey Suhaiza dan Norman Hakim di Hotel Crowne Plaza di sini, malam Khamis.
Nabil dan Nazirah akan bernikah selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya dekat sini, Jumaat sementara majlis resepsi persandingan pula akan diadakan di I-City Shah Alam berkonsepkan “fairy tale” dan persandingan dalam taman.



Kata Irma, Nabil ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk memaklumkan majlis berkenaan tetapi atas perbincangan dan persetujuan bersama, adalah lebih baik dia tidak muncul pada kedua-dua majlis itu.
Jelas Irma, sebagai seorang selebriti, dia bimbang kehadirannya nanti menimbulkan macam-macam persepsi selain takut diserbui pihak media untuk meminta pendapat mengenai perkahwinan berkenaan. Ditanya adakah dia menyimpan perasaan dendam terhadap pelakon lelaki itu, Irma berkata dia sudah melupakan peristiwa yang penah beliau di antara mereka selama ini.
Malah Irma juga berkata hatinya semakin tenang selain mendoakan agar perkahwinan berkenaan berjalan dengan baik.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Nabil dan Nazirah. Mudah-mudahan perkahwinan mereka diberkati Allah,” katanya.
Dalam perkembangan lain kata Irma selepas melalukan perubahan dengan mengenakan tudung, tawaran berlakon terhadapnya semakin bertambah.
Kredit: Sumber

Rabu, 28 September 2011

Didie Alias Enggan Mohon Maaf ...

                                                       Julia Ziegler
PETALING JAYA: Aktres Julia Ziegler menuntut pengacara Didie Alias untuk melakukan permohonan maaf kerana membuat tuduhan tidak benar kononnya dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang jurugambar yang terlibat dalam penggambaran drama Noktah Erna, dua tahun lalu.
Julia berkata, dia mahu Didie berhenti menyebarkan cerita tersebut kerana perbuatan itu benar-benar menjejaskan nama baiknya sebagai seorang pelakon.
“Cerita ini dua tahun lalu dah heboh tetapi ia hanya dibualkan di kalangan orang produksi sahaja. Tapi yang membuatkan saya marah apabila ia masih lagi diperkatakan orang termasuklah disebut-sebut lagi oleh seorang pengacara baru.
“Saya memang sengaja memberi peringatan kepadanya (Didie) agar tidak terus membesarkan cerita ini walaupun dia lebih senior dalam dunia hiburan tapi saya mahu dia menghormati saya,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Dalam sebuah rancangan hiburan minggu lalu, Julia Ziegler membuat dakwaan dengan mengatakan Didie Alias telah memfitnahnya tidur dengan seorang jurukamera ketika penggambaran drama Noktah Erna.
Sementara itu, dalam laporan mStar Online Selasa, Didie Alias menafikan tuduhan Julia Ziegler itu.
Tambah Julia, khabar angin tersebut sememangnya memberi kesan kepada dia dan keluarga serta menjejaskan maruahnya.
“Saya tidak buat perkara tersebut tapi macam-macam cerita saya dengar tentang saya. Sebagai perempuan sudah tentu saya tidak mahu dilabel sebagai perempuan murahan.
“Saya juga ingin kahwin satu hari nanti, saya tak mahu nanti keluarga suami saya berfikir yang tidak baik tentang saya,” katanya.
Julia memberitahu, Didie yang bertugas sebagai Pengurus Produksi untuk projek drama berkenaan juga gagal menjelaskan bayaran sewa kereta miliknya yang digunakan untuk penggambaran drama berkenaan.
Katanya sebagai Pengurus Produksi Didie telah dipertanggungjawab dalam urusan tersebut tetapi dia tidak menjelaskan bayaran sebagai mana yang dijanjikan walaupun puas diminta.
“Saya dah banyak kali hubungi dia dan suaminya untuk selesaikan perkara ini, namun tidak ada sebarang respons daripada mereka,” katanya kesal.


Tidak akan mohon maaf – Didie Alias
Sementara itu, Didie Alias yang dihubungi berkata tidak sesekali akan memohon maaf kepada aktres tersebut.
Ini kerana menurut Didie dia tidak langsung ada kaitan dengan isu fitnah berkenaan dan enggan terkait dengan sebarang kontroversi murahan yang dicipta oleh pelakon Jangan Tegur itu.
"Kenapa saya perlu minta maaf kepada dia atas perkara tersebut dan siapa dia untuk saya minta maaf?,
"Apa yang dia cakap semua tidak betul langsung. Kalau betul pun hanya dia sahaja yang tahu sebab setahu saya, cerita itu tidak pernah dikecohkan orang pun sebelum ini," katanya.
Tambah Didie, dia kesal dengan tuduhan tersebut yang seperti cuba mencalarkan imejnya sebagai pengacara popular.
"Kenapa baru sekarang dia ingin timbulkan kontroversi ini di saat saya berada di tempat yang selesa dalam industri ini?
"Kenapa tidak beberapa tahun dulu ketika saya susah dan tiada kepentingan langsung dalam industri, dia bagai cuba meraih publisiti murahan," tuturnya.
Dalam pada itu, Didie turut menafikan dakwaan mempunyai hutang tertunggak dengan pelakon tersebut.
"Bila masa saya berhutang dengan dia? Hutang yang dia tuntut itu adalah hutang dia bersama pihak produksi drama tersebut dan bukan dengan saya," katanya.

Sabtu, 24 September 2011

Gambar-Gambar Majlis Pernikahan Norman Hakim Dan Memey...




PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, pelakon Norman Hakim, 35, telah selamat dinikahkan dengan pasangannya, pelakon Memey Suhaiza, 23, di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor pada pukul 5.10 petang, Sabtu.
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah mukim Kambau, Kota Tinggi, Zulkifli Tarmizi berwalikan bapa Memey, Suhaimi Sawarni, 49.
Pada majlis tersebut, Memey turut menerima mas kahwin berjumlah RM22.50 dan lima dulang hantaran termasuk wang hantaran RM24,000, sistem pengesanan global (GPS), rantai, cincin berlian, kek buah berbentuk beg tangan Gucci, sirih junjung dan al-Quran.
Sementara Norman menerima tujuh dulang hantaran daripada Memey iaitu iPad 2, cincin, coklat, buah-buahan, sirih junjung, kek lapis Sarawak dan al-Quran.
Keseluruhan hantaran kedua-dua belah pihak dianggarkan berjumlah RM40,000 yang digubah oleh Iezla Bridal merangkap perunding perkahwinan.
Memey dan Norman kelihatan sama cantik sama padan mengenakan baju pengantin berwarna mengikut kulit rekaan Ezuwan Ismail.






  
Selain keluarga kedua-dua belah pihak, majlis ini turut dihadiri dan disaksikan oleh 1,000 tetamu termasuk dua anak Norman iaitu Mohamed Danish Hakim,8, dan Marissa Dania Hakim,6.
Menurut Norman, dia akan membawa Memey berbulan madu di Paris dalam masa yang akan ditetapkan kemudian dan seterusnya dijangka ke Mekah untuk mengerjakan umrah pada tahun depan.
Pada malam Sabtu, pasangan ini akan melangsungkan majlis malam berinai di rumah pihak perempuan di mana Memey mengenakan baju busana berkonsepkan kontemporari berwarna peach manakala Norman dengan baju tradisional berwarna hitam yang disediakan oleh Iezla Bridal.
Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan akan dilangsungkan di rumah pihak perempuan pada Ahad dengan berkonsepkan perkahwinan dalam taman. Pakaian persandingan direka oleh Hatta Dolmat manakala untuk upacara memotong kek direka oleh Rizman Ruzaini.
Pada 28 September depan pula, majlis perkahwinan yang bernilai RM12 juta, akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan Kosmopolitan dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.
Menariknya Memey akan menyarungkan gaun pengantin pereka tersohor dunia, Vera Wang pada majlis perkahwinannya pada 28 September itu.
Menurut perancang perkahwinan mereka, Billbora, gaun yang menjadi pilihan selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian, Mariah Carey dan Invanka Trump itu telah dibeli oleh Rafflesia, menerusi sebuah agen di Hong Kong.
Memey akan mengenakan dua gaun pengantin pada majlis tersebut dan salah satunya daripada rekaan Vera Wang yang berkonsepkan Bohemian. Bagaimanapun ia bukanlah ditempah khas sebaliknya dibeli oleh pihak Rafflesia yang inginkan kelainan pada majlis tersebut.
Sepasang lagi gaun yang akan dikenakan pula direka khas oleh tiga pereka tempatan daripada Rafflesia dengan bertatahkan mutiara gred A yang bernilai RM500,000.
Bagi pakaian pengantin lelaki pula, Norman akan mengenakan dua pasang sut tradisional Inggeris rekaan Lord's Taylor bernilai RM10,000 setiap satu.
Menarik lagi, keempat-empat gaun dan sut pengantin tersebut akan dipamerkan untuk satu acara istimewa di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember depan.
Selain Rafflesia, Lord's Taylor dan Vera Wang, Profesor Datuk Jimmy Choo juga akan menghasilkan dua pasang kasut khas buat Memey yang bernilai RM300,000.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Memey manakala yang kedua bagi Norman.
Norman pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak termasuk Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Rabu, 21 September 2011

Nabil 'Raja Lawak' Dan Nazirah Akan Bernikah Pada 30 September Ini...



KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2011: Pelakon dan pelawak terkenal, Ahmad Nabil Ahmad, 28 bakal diijab kabulkan bersama pilihan hatinya Nazirah Ayub, 23 pada 30 September ini di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya.



Nabil menerusi pengurusnya, Latip Ahmad ketika dihubungi portal murai.com.my berkata, pasangan berkenaan bakal dinikahkan selepas solat Jumaat di masjid berkenaan kerana berhampiran dengan kediaman keluarga sebelah perempuan, di Klang.
Dia juga berkata, sebuah majlis resepsi penuh warna-warni berkonsepkan 'fairy tale' bakal diadakan di I-City, Shah Alam pada tanggal 2 Oktober ini, sekitar jam 8 malam.
"Konsep fairy tale dan persandingan dalam taman sememangnya konsep yang diidamkan Nabil dan Nazirah. Mereka sengaja memilih I-City kerana lokasi berkenaan melengkapi konsep impian perkahwinan mereka.
" Pada majlis resepsi berkenaan, mereka akan mengenakan persalinan moden di mana Nabil dengan tuxedo, manakala Nazirah bersama gaun moden," katanya.
Nabil dan Nazirah telah mengenali satu sama lain sejak enam tahun lalu, bagaimanapun dia mengakui tidak pernah berhubung apatah lagi bercakap dengan bekas pramugari AirAsia Berhad itu.
Namun, hubungan mereka kembali akrab sejak awal tahun ini kerana pasangannya itu merupakan teman rapat kepada adik iparnya.
Menafikan keputusannya mendirikan rumah tangga itu sebagai langkah terburu-buru, Nabil bagaimanapun mempunyai alasannya tersendiri kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali sebagaimana perpisahannya bersama Irma Hasmie selepas lebih dua tahun bercinta.
Kredit: Sumber

Minggu, 18 September 2011

Ashraf Muslim dan Dayana Hanya Bercinta Selepas Berkahwin

Ashraf dan Dayana sewaktu majlis persandingan di pihak perempuan di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, Gombak.

GOMBAK: Pelakon Ashraf Muslim, 30, akui sedang mencari keserasian dengan isterinya, Noor Dayana, 24, memandangkan mereka bercinta selepas berkahwin pada 30 Ogos lalu.
Pasangan ini bernikah di Dataran Kaabah, Mekah yang dihadiri oleh 10 orang kaum keluarga kedua-dua belah pihak serta jemaah umrah.
"Kami dinikahkan oleh bapa Dayana. Selepas nikah, kami melakukan solat sunat nikah, tawaf sebanyak tujuh kali dan berdoa.
"Alhamdulillah, selepas berkahwin, saya rasa perkahwinan saya lebih teratur dan semua kerja dilakukan bersama-sama.
"Dia selalu menceriakan saya dan saya menyenangi tutur kata, layanan serta tanggungjawab yang diberikan. Kami juga saling berkongsi masalah bersama-sama," ujarnya yang mengenali Dayana sejak setahun lalu.
Mempelai ketika upacara memotong kek.
Menyentuh tentang tempat tinggal, Ashraf dan Dayana terpaksa berpisah buat sementara waktu memandangkan isterinya sedang belajar di sebuah pusat pengajian di Melaka sehingga Mac tahun depan.
"Saya akan menetap di Kuala Lumpur manakala Dayana terpaksa tinggal di Melaka demi menghabiskan pengajiannya," kata Ashraf lagi yang pernah mensasarkan untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun.
Walaupun isterinya sangat pandai memasak terutama masakan Barat, Ashraf tetap mengharapkan agar Dayana belajar masakan kampung.
"Setakat ini saya sudah merasa lasagna yang dimasak olehnya, ujar Ashraf lagi.
Selain masakan, Ashraf akui tertarik dengan imej wanita solehah yang diingini selama ini.
Menyentuh tentang percutian bulan madu, pasangan ini belum merancang untuk melakukan aktiviti tersebut pada masa terdekat ini.
"Kami sudah sepakat memilih New Zealand sebagai lokasi percutian tetapi masanya akan ditetapkan kemudian selepas habis belajar," kata Ashraf yang sudah lama tidak berlakon.
Bukan sudah bersara dari lakonan, tetapi kerana sibuk dengan kariernya sebagai pengamal perubatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, di Kampung Sungai Pusu, di sini.
Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan dilangsungkan pada 24 September ini, pukul 12 tengah hari di Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka dengan konsep Islamik Taman Raudhah.

Penyanyi Siti Nordiana Sudah Mula Memakai Tudung Sejak Ramadan Lalu



SEPANJANG bergelar anak seni, kisah mengenai penyanyi Siti Nordiana Alias sering kali menjadi perhatian. Biarpun namanya tidak terlalu gah berbanding beberapa penyanyi yang lain, namun dia mempunyai peminat tersendiri dan masih lagi mampu bertahan sehingga kini.
Sudah lumrah menjadi seorang artis, apa sahaja yang dilakukan pastinya akan dinilai oleh peminat. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap penyanyi yang bergelar ibu tunggal ini.
Biarpun jarang terpalit dengan kontroversi hangat, namun namanya pernah sedikit terjejas gara-gara penampilannya ketika hadir pada majlis yang dianjurkan oleh sebuah majalah pada tahun lalu.
Pada majlis berkenaan dia telah mengejutkan ramai pihak apabila tampil dengan gaya yang cukup seksi, sedangkan selama ini dia dikenali sebagai artis yang sering tampil dengan gaya yang sopan.
Gambar-gambarnya pada majlis itu telah tersebar di laman-laman blog sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak yang seolah-olah tidak dapat menerima imej yang ditampilkannya itu.
Bagaimanapun, berkesempatan menemui penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Nana itu dalam sebuah majlis, sekali lagi mengejutkan ramai pihak terutama yang hadir pada majlis berkenaan.
Pada kali ini, penyanyi berkenaan tidak lagi tampil dengan gaya seksi seperti sebelum ini. Sebaliknya, kini Nana lebih kelihatan anggun dan menarik apabila dilihat sudah memakai tudung.
"Sebenarnya saya sudah mula memakai tudung sejak bulan puasa yang lalu. Keputusan saya memakai tudung ini bukanlah disebabkan fesyen semata-mata, tetapi ini adalah imej terkini saya dan berharap ia akan kekal sampai bila-bila.
"Lagipun perubahan imej yang saya lakukan ini adalah satu kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai seorang wanita muslim. Malah, ini juga adalah langkah awal untuk saya berubah ke arah menjadi seorang insan yang lebih baik," jelasnya.



SITI NORDIANA atau Nana kini selesa dengan imej baharunya, bertudung.

Menurutnya lagi, dia sebenarnya sudah lama mempunyai niat untuk bertudung memandangkan anaknya iaitu Mohamad Rayyan Nakhaie semakin membesar. Namun, hanya pada bulan puasa yang lalu hasratnya itu dapat direalisasikan.
Sementara itu, ketika ditanya apakah yang membuatkan pintu hatinya terbuka untuk memakai tudung, Nana menjelaskan kesedaran tersebut bermula apabila dia banyak membaca majalah yang berbentuk islamik.
"Dalam kebanyakan majalah yang dibaca, saya sebenarnya cukup tertarik ketika membaca kisah-kisah mengenai saudara baharu. Walaupun baru memeluk Islam, tetapi saya lihat saudara baru terutama yang perempuan tidak keberatan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.
"Selepas itu baharulah timbul kesedaran dalam diri sehingga saya mengambil keputusan untuk bertudung. Saya akui yang saya ini bukanlah terlampau baik, tetapi saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya berubah sedikit demi sedikit," ujarnya.

Memandangkan kini dia sudah tampil dengan imej yang baharu, Nana menjelaskan tidak bermakna selepas ini dia akan terus berhenti daripada bidang nyanyian. Ujarnya, karier seni masih lagi tetap diteruskan seperti biasa.
"Saya akui pasti ada tanggapan yang mengatakan tawaran untuk saya membuat persembahan akan berkurangan apabila bertudung. Walaupun ada kebenarannya, namun saya sendiri tidak kisah kalau ia benar-benar berlaku.
"Kalau dah rezeki saya tidak lagi di bidang nyanyian, mungkin rezeki saya di bidang yang lain pula. Lagipun bertudung bukanlah satu masalah yang besar kerana peminat sekarang pun sudah terbuka dan mereka tetap boleh terima penyanyi yang bertudung," ujarnya.

Pada masa yang sama, penyanyi berkenaan memberitahu bahawa syarikat rakamannya iaitu FMC Music Sdn. Bhd. turut menerima dengan terbuka perubahannya dan kini mereka sedang mencari lagu baru yang sesuai untuk imej barunya itu.
Ditanya mengenai projek terbarunya ketika ini, Nana berkata, dia akan terbabit untuk membuat persembahan di beberapa buah negeri dalam siri jelajah yang dibuat oleh syarikat Fablous Global Sdn. Bhd.
"Alhamdulillah, meskipun sekarang saya sudah tampil dengan imej bertudung tetapi rezeki untuk menyanyi masih lagi ada. Saya juga sangat berterima kasih kepada pihak Fablous Global kerana sudi mengundang saya untuk sama-sama menjayakan siri jelajah mereka yang akan bermula pada bulan Oktober ini," ujarnya.
Selain Nana, antara artis-artis yang turut menjayakan siri jelajah syarikat jualan langsung yang diterajui oleh Datuk Sarimah Ahmad ialah Pian Cecupak, Mama Rina, Din Belon dan Boy Iman.
Kredit: Sumber

Rabu, 14 September 2011

Lisa Surihani Pandai Pikat Hati Yusry...

Lisa dan Yusry ketika majlis rumah terbuka KRUStudios di rumah Norman Abdul Halim di Cyberjaya.


PETALING JAYA: Hubungan cinta pelakon Lisa Surihani dan pengarah filem Yusry Abdul Halim semakin kuat dan kukuh, namun pasangan itu belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.
Sementelah hubungan mereka masih baru berputik dan dalam proses saling memahami antara satu sama lain, Lisa pandai memikat hati Yusry dengan menempah kain samping khas.
“Yusry tidak gemar memakai baju Melayu dengan samping kerana dia tidak suka membetulkan samping yang mudah longgar dan melindungi poket seluarnya.
“Jadi, sebab itu saya memberitahu idea kepada pereka fesyen untuk menjahit samping yang ada zip dan poket khas untuknya. Semuanya ada tiga pasang dan berlainan warna dan corak,” kata Lisa di samping Yusry sewaktu majlis rumah terbuka KRU Studios di rumah Norman Abdul Halim di Cyberjaya baru-baru ini.
Diusik tentang hubungan cinta mereka yang semakin rancak, kedua-duanya yang tampil baju raya warna sedondon akui sudah beraya di rumah keluarga masing-masing.
“Kami tidak pernah menyembunyikan hubungan kami dan saya sudah membawa Lisa berhari raya dan bertemu saudara-mara saya di Gopeng pada Hari Raya kedua lalu.
“Begitu juga dengan saya yang ada mengikut Lisa berhari raya di rumah sepupunya di Ampang, Selangor pada malam Hari Raya pertama,” ujar Yusry.
Tambahnya lagi: “Saya memang serius dengan Lisa dan tidak berdolak-dalik apabila ada yang bertanya tentang hubungan kami. Cuma tentang tarikh perkahwinan yang digembar-gemburkan akan berlangsung pada tahun 2012 adalah tidak benar.
“Kami belum merancang apa-apa kerana masing-masing sangat sibuk dan belum sempat berbincang tentang perkara itu. Percayalah, memang tiada agenda tersembunyi…”
Menyentuh tentang karier seni masing-masing, Lisa bakal bertolak ke Istanbul pada Oktober ini selama 20 hari dan dijangka pulang pada penghujung bulan itu untuk menjayakan lakonan sebuah filem romantik komedi arahan Bernard Chauly berjudul Istanbul, Aku Datang.
Filem terbitan Red Communications Sdn Bhd itu turut dilakonkan oleh Tomok dan Beto Kusyairi dan akan menjalani 100 peratus penggambaran di negara itu.
Selain itu, dia sedang menunggu kemunculan filem terbarunya berjudul Ombak Rindu dan Papa, I Love You di pawagam.
Sementara itu, Yusry sedang sibuk dengan proses penggambaran filem Vikingdom yang bakal menggunakan khidmat pelakon Hollywood.

Selasa, 13 September 2011

Panas!! Pelakon Zarina Ann-Julie Kutuk Awal Ashaari Dalam Twitter...



KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari,30, memberitahu kurang senang dengan tindakan pelakon Zarina Ann-Julie yang menghinanya dengan kata-kata kurang enak di laman Twitter baru-baru ini.
Awal berkata, dia tidak tahu apakah kesalahannya menyebabkan Zarina sanggup mencaci dia serta ibu dan bapanya di laman sosial itu.
"Sejujurnya saya tidak mengenali siapa dia (Zarina) dan tidak pernah bertemunya di mana-mana majlis hiburan sebelum ini. Sebab itu saya tidak faham mengapa dia memburuk-burukkan saya di laman Twitter miliknya," kata Awal ketika ditemui pada majlis pelancaran drama "Cuak" di sini, Selasa.
Zarina dikatakan mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadap Awal apabila mengaitkan penahanan pengacara lelaki itu oleh pihak polis dengan Scha Al-Yahya di sebuah kelab hiburan tidak lama dulu.
Antara kata-kata Zarina dalam laman Twitter miliknya.
Ia dipercayai berpunca apabila Awal kononnya dikatakan telah menyentuh satu perkara yang menyebabkan Zarina terasa dalam program hiburan Fuhh! terbitan TV3 yang dikendalikan Awal.
Sementara itu, Awal memberitahu selepas insiden itu dia telah menonton kembali lima episod terdahulu program berkenaan untuk mengetahui jika ada kata-katanya yang menyebabkan pelakon tersebut terasa.
Awal tidak tahu punca sebenar kemarahan Zarina terhadapnya.
"Saya sudah tengok kembali lima episod program itu tetapi tiada satu episod pun yang mengaitkannya. Malah saya turut bertanyakan pihak penerbit mengenai hal berkenaan dan mereka juga terkejut,” katanya.
Awal berkata, Zarina mungkin bertindak sedemikian kerana ingin mencari publisiti murahan selain berusaha mendapat perhatian ramai.
Sebagai artis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni, Awal menjelaskan dia enggan melayan perkara remeh seperti itu.
"Saya tidak mengenali dia (Zarina) dan tidak pasti apakah sebenarnya isu dia terhadap saya. Jadi saya rasa saya tidak perlu layan dan cari gaduh dengan sesiapa," ujarnya.

Senin, 12 September 2011

Mamat (Sepah) Bengang Dengan Tuduhan Bekas Kekasihnya...


Mamat bersama kekasih barunya, Fida.
PETALING JAYA: Bekas anggota Sepah, Mohd Noor Murad atau Mamat menganggap tuduhan yang dibuat oleh bekas kekasihnya Nur Syuhada atau lebih dikenali sebagai Adda mengenai kisah cinta mereka sebagai melampau batas dan mempunyai agenda tertentu.
Kata Mamat, dia berani menjunjung kitab suci Al-Quran dan bersumpah bahawa kenyataan yang dibuat oleh vokalis kumpulan Butterfly itu adalah tidak benar.
"Saya mengaku meninggalkan dia dalam keadaan yang dia sangat sayangkan saya dan begitu juga saya terhadapnya. Namun ada perkara lain yang saya tidak boleh terima dalam hubungan itu sehingga membuatkan saya mengambil keputusan memutuskan hubungan.
"Biarlah saya dan dia sahaja yang mengetahui perkara tersebut kerana jika saya buka mulut ia tidak beri faedah kepada sesiapa pun, malah memburukkan lagi keadaan," katanya kepada mStar Online, di sini, Isnin.
Mamat diminta mengulas kenyataan Adda dalam sebuah akhbar mingguan yang mendakwa dia telah memutuskan hubungan cinta mereka tanpa sebarang alasan.
Adda bekas kekasih Mamat - Foto daripada akaun Twitter Adda
Malah dalam kenyataan tersebut juga, Adda mendakwa Mamat sebagai individu yang menjadi punca perpecahan kumpulan Sepah.
Bagaimanapun, Mamat akui dia sedar perkara sebegini akan berlaku dan menasihatkan Adda agar tidak membesarkan lagi perkara ini.
"Saya tahu kekecohan ini terjadi disebabkan tindakannya yang mahu memperbesarkan perkara itu. Dia pernah beritahu saya tentang hajat berkenaan tetapi saya sudah mengingatkannya supaya tidak meludah ke langit, takut terkena muka sendiri.
"Tentang cincin yang saya telah berikan, memang saya minta semula daripadanya kerana itu adalah tanda ikatan sebuah hubungan, namun saya terus buang kerana tidak sanggup mengenangnya lagi," katanya kesal.
Dalam pada itu, mengenai perpecahan kumpulan Sepah yang dikatakan berpunca daripadanya, Mamat berkata keputusan berkenaan adalah persetujuan daripada ketiga-tiga pihak.
"Perkara itu sudah dijelaskan dan keputusan itu adalah daripada kami bertiga buka kerana saya seorang," tuturnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas reaksi kekasih barunya iaitu pelakon Fida, Mamat berkata, pelakon Kasih Alia itu seorang yang profesional dan berfikiran terbuka.
"Fida menyuruh agar saya tidak melatah kerana ini adalah asam garam kehidupan sebagai artis dan dia sangat memahami situasi saya sekarang," ujarnya.


Selasa, 06 September 2011

Bekas Isteri AC Mizal Terpaksa Pinjam Duit Kerana Nafkah Anak Tidak Cukup

                                                      Shafnie,bekas isteri AC Mizal.

KAJANG: Bekas isteri A.C Mizal iaitu Shafnie Zainudin dimaklumkan ada meminjam wang daripada ibunya yang berusia 62 tahun bagi tujuan perbelanjaan anak-anak lantaran nafkah yang diberikan oleh pelakon dan pengacara tersebut tidak mencukupi.
Rapiah Ab Talib yang merupakan seorang pesara juga memberitahu, Shafnie turut meminjam wang daripada ibu saudaranya selain pernah menjual barang kepada kawan-kawan dan saudara-mara untuk mendapatkan wang lebih demi keselesaan dua anak yang diperoleh hasil perkahwinannya dengan A.C Mizal.
"Saya tolong setakat termampu. Saya tahu duit tidak cukup kerana plaintif (Shafnie) selalu mengadu nafkah yang diberikan oleh defendan (A.C Mizal) tidak mencukupi," katanya pada afidavit keterangannya yang dikemukakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Selasa.
Afidavit keterangan tersebut diikrarkan pada 25 Ogos lalu dalam kapasitinya sebagai saksi kedua dalam permohonan Shafnie untuk mengubah nafkah anak berjumlah RM300 kepada RM3,770 sebulan yang dituntutnya daripada pelakon tersebut.
Shafnie, 36, yang merupakan seorang bekas model berkahwin dengan AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan anak, Muhammad Shafiq Iman, 15, dan Muhammad Shabil Iman, 12, sebelum berpisah pada 17 Oktober 2001.

                                                     Gaya mewah AC Mizal.

Dalam prosiding yang bermula pada pukul 3.20 petang itu, Shafnie diwakili oleh peguam syarie Azmi Rais.
Pada keterangan lain, Rapiah memberitahu, tidak beberapa lama selepas bercerai, Shafnie bersama anak-anaknya kembali menetap dengan dia di Batu 12, Jalan Cheras-Kajang, di sini kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah di Kota Damansara, dekat sini.
"Bila tinggal serumah, saya banyak tanggung makan, minum dan lain-lain termasuk perbelanjaan anak-anak. Saya tidak mampu bantu plaintif menjaga anak-anak sepenuh masa kerana saya tidak berapa sihat," katanya dan menambah Shafnie mengambil pembantu rumah untuk menguruskan anak-anak apabila dia bekerja.
Rapiah seterusnya memberitahu, emosi Muhammad Shafiq Iman dan Muhammad Shabil Iman juga terganggu apabila mendengar cerita mengenai AC Mizal kerana tahu ayah mereka hidup dalam suasana yang senang, sedangkan kehidupan mereka adalah sederhana kerana nafkah yang diberikan tidak cukup.
"Muhammad Shafiq Iman pernah cakap pada saya bahawa masa dia berjumpa dengan defendan di mahkamah, dia tahu ayahnya pakai kasut mahal. Anak-anak itu tahu defendan hidup senang kerana tengok dalam televisyen tentang kekayaan defendan," tambah Rapiah.
Saksi menambah, pada pengetahuannya hubungan anak-anak tersebut juga telah lama tidak berjumpa dengan rancangan Maharaja Lawak itu, selain kebanyakan panggilan telefon yang dibuat mereka kepada AC Mizal tidak berjawab.
Menyentuh mengenai pendidikan anak-anak itu, Rapiah memberitahu, Muhammad Shafiq Iman bersekolah di sebuah sekolah swasta Al-Amin di Bangi, dekat sini manakala Muhammad Shabil Iman menuntut ilmu di Sekolah Rendah Seri Sekamati, Kajang, di sini.
"Pada pengetahuan saya, Sekolah Al-Amin bagus kerana membimbing anak-anak dalam pendidikan agama. Tambahan pula, anak-anak tersebut tidak mendapat bimbingan agama daripada bapa kandung mereka. Sejak tingkatan satu, Muhammad Shafiq Iman tidak pernah tinggal solat dan tahu konsep anak soleh," katanya.
Tambahnya, yuran persekolahan Muhammad Shafiq Iman melebihi RM200 sebulan dan akan dibekalkan RM2 sehari sebagai wang belanja dan dinaikkan kepada RM5 jika kanak-kanak itu perlu menghadiri aktiviti ko-kurikulum di sekolah.
"Muhammad Shafiq Iman juga akan menaiki komuter setiap kali menghadiri kelas tambahan," katanya dan menambah, dia tahu A.C Mizal berkemampuan untuk membayar nafkah yang dituntut oleh anaknya kerana kehidupan pelakon itu senang kerana sering keluar di televisyen dan mempunyai syarikat sendiri.
Sementara itu, semasa menjawab soalan peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili A.C Mizal, saksi bersetuju bahawa Shafnie pernah berkahwin untuk kali kedua selepas berpisah dengan A.C MIzal dan perkahwinan tersebut juga berakhir dengan perceraian.
"Saya tak ingat bila mereka bercerai kerana dia kahwin sekejap sahaja," katanya.
Rapiah bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Siti Aishah bahawa permohonan tersebut hanya difailkan selepas perceraian kali kedua berlaku dan memberitahu bahawa isu nafkah itu telah lama timbul semasa Shafnie masih bergelar isteri orang.
Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah kemudiannya menetapkan perbicaraan bersambung pada 13 September depan untuk membolehkan Siti Aishah meneliti secara terperinci afidavit keterangan Rapiah bagi membolehkan beliau menyoal balas saksi.

Filem 'Hantu Bonceng' Kutip RM5 juta Dalam Masa Lima Hari Tayangan


PETALING JAYA: Filem terbaharu arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Hantu Bonceng, berjaya mendapat kutipan sebanyak RM5 juta dalam masa lima hari tayangan bermula 31 Ogos lalu.
Menurut Ahmad Idham, dia bersyukur dengan pencapaian filem di bawah terbitan syarikatnya sendiri, Excellent Pictures itu kerana Hantu Bonceng mencatat sejarah dengan kutipan tiket terbesar pada musim perayaan.
"Alhamdulillah, kutipan tiket Hantu Bonceng mencecah RM1 juta bagi setiap hari tayangan. Melalui tinjauan di beberapa lokasi di Lembah Klang ada juga penonton yang kecewa kerana tiket sudah habis.
"Daripada makluman pengurus panggung pula, tiket-tiket di sebelah malah sudah habis di waktu petang. Jadi saya menasihati supaya membeli tiket lebih awal atau membuat tempahan secara dalam talian," katanya melalui satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel di sini, Isnin.
Tambah Ahmad Idham, dia juga bersyukur kerana hasil promosi yang kuat menerusi di ruangan akhbar, radio, televisyen serta di laman sosial Twitter dan Facebook,ia telah berjaya menarik perhatian ramai untuk menonton filem tersebut.
Perkiraan kutipan tiket Hantu Bonceng yang dibintangi oleh Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid AF dan ramai lagi dikira menerusi tayangan di 80 buah pawagam serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Saya juga ingin menyeru kepada sesiapa yang masih lagi belum menonton filem saya ini, silalah ke pawagam berhampiran bersama-sama rakan mahupun keluarga kerana saya jamin, selain memberikan hiburan dengan lawak komedi pelakon-pelakonnya, ia juga menyampaikan mesej yang berguna buat semua.
"Diharap, dengan sokongan yang diterima daripada peminat-peminat akan berterusan, mana tahu, Hantu Bonceng akan melakar sejarah yang tersendiri," ujarnya.
Kredit: Sumber

Senin, 05 September 2011

Kris Dayanti Selamat Melahirkan Anak Perempuan


PENYANYI popular Indonesia, Kris Dayanti, 36, selamat melahirkan seorang bayi perempuan, Amora Arianna Lemos melalui pembedahan pada pukul 3.21 petang (waktu Malaysia) di Rumah Sakit Mitra, Jakarta.
Ini merupakan anak pertama hasil perkahwinannya dengan seorang ahli perniagaan, Raul Lemos. Mereka berkahwin pada bulan Mac lalu.



Difahamkan, Raul amat lega kerana isteri dan anaknya itu melalui proses kelahiran dengan selamat.
Malah, Raul turut berkongsi kegembiraannya kepada semua dengan menghantar gambar anaknya sendiri kepada pihak media yang berada di hospital tersebut.

Puteri sulung KD bersama suami barunya Raul Lemos telah dilahirkan di Rumah Sakit Mitra Kemayoran, Jakarta pada Isnin lalu dengan berat 2.92 kilogram, bayi comel itu diberi nama Ariannha Amora Lemos. Sewaktu bersalin, Raul setia di sisi isterinya yang melalui kaedah pembedahan. “Ariannha itu adalah bagaikan intan, Amora pula maksudnya cinta. Jadi, intan penuh cinta. Ariannha diambil dari bahasa Latin sementara Amora dari Portugis. Kami harapkan bantuan doa dari sahabat dan rakan semua, agar putri kami menjadi anak yang berbakti dan soleh,” ujar Raul.
Sementara itu, kakak KD pula memberitahu Ariannha lebih mirip Raul.
“Anak perempuan lebih mirip ayahnya, laki-laki mirip ibunya. Lucu sekali lihat bibirnya yang seksi. Lucu lihat anak buah saya. Aurel dan Azriel (anak KD dengan Anang) juga senang,” ujar Yuni.
KD melahirkan melalui operasi caesar, dan keseluruhan biaya persalinannya disebut-sebut sekitar mencecah RM35,000. Sah-sah bernikah dengan jutawan, mestilah layanan pun kelas bintang juga sewaktu bersalin.

Sebelum ini, Kris telah pun memiliki seramai dua orang anak iaitu Titania Aurelie Hermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Anang.
KD mencetuskan kontroversi sebelum ini kerana membuat pengakuan berani yang dia telah hamil sebelum bernikah.

Jumat, 02 September 2011

Ibu Elia Dakwa Khairul Fahmi Berbohong...

                                 
Khairul Fahmi Belum Pulangkan Cincin Pertunangan

KOTA BHARU: “Kenyataan dibuatnya pertunangan dia dengan anak saya sudah putus secara rasmi tidak benar. Sejak dia beritahu akan memutuskan pertunangan mengikut adat Melayu dan memulangkan cincin pertunangan dengan bantuan keluarga angkatnya, sampai hari ini semua itu tidak berlaku,” kata ibu Aimie Harmelia atau Elia.
Wanita berusia 46 tahun yang enggan dikenali berkata demikian sebagai menafikan kenyataan terbaru penjaga gol sensasi kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 22, baru-baru ini yang mendakwa pertunangannya dengan Elia diputuskan secara rasmi.
Ibu Elia berkata, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek hanya mengeruhkan lagi suasana, malah mengaibkan keluarganya.

“Kalau dia (Khairul Fahmi) ‘jantan’ sangat, kenapa tak datang jumpa kami sendiri. Dia banyak memberikan kenyataan tidak benar, sekali gus memberi persepsi negatif kepada keluarga kami.








“Bila dia kata nak putuskan pertunangan ikut adat Melayu, sehingga hari ini dia sebenarnya tak buat apa-apa pun. Kami malas hendak memanjangkan isu ini, tapi apabila dia memberi kenyataan tidak benar, kami kena perbetulkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kredit: Sumber

Kamis, 01 September 2011

Pasangan Artis Hangat Bercinta Menyambut Aidilfitri Bersama


Selain beraya bersama keluarga, hari yang mulia ini pastinya diraikan bersama insan tersayang. Begitulah dengan empat pasangan artis popular ini. Bakal menyambut raya bersama, Aidilfitri menjadi momen yang indah.

Fizz Dan Almy beraya di kampung masing-masing

Sama seperti pasangan kekasih lain, Fizz Fairuz dan Almy Nadia nampaknya 'punya mood' yang hampir sama apabila mereka lebih memilih untuk meraikan hari bahagia bersama keluarga tersayang.

Menurut Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 32, dia dan buah hatinya itu akan akan beraya di kampung halaman masing-masing, sepertimana tahun-tahun sudah.

Katanya, sementara masih berstatus bujang, inilah masanya untuk mereka menghabiskan masa dan mengalami pengalaman berhari raya bersama keluarga dan saudara mara.

“Fizz beraya di kampung di Raub, Pahang selama satu minggu pada tahun ini. Puas rasanya dapat berehat dalam tempoh seminggu walaupun tak panjang.

“Dapat jugalah berjumpa dengan saudara mara yang mana kebanyakannya hanya dapat berjumpa ketika ini saja.

“Malah, saya rasa teruja melihat ada pertambahan ahli keluarga, ada juga yang sudah berumah tangga dan yang lama tidak jumpa itu berbeza pula wajahnya apabila sudah dewasa,” ujar Fizz sambil ketawa kecil.

Cerita Fizz, saat paling menarik setiap kali berhari raya di kampungnya adalah apabila dapat berkumpul dengan saudara mara yang mana kebanyakannya berjumpa setiap kali Syawal saja.

Fizz berkata, setakat ini, dia belum bercadang untuk berkunjung ke kampung Almy di Pulau Pinang kerana harus kembali bekerja selepas raya.

Sementara Almy, memberitahu, dia amat memahami karier Fizz. Seperti tahun sudah, dia dan Fizz hanya akan berpeluang beraya bersama pada minggu kedua raya.

Katanya, kesibukan dengan jadual karier turut membataskan masa untuk bertemu, namun ia bukanlah menjadi masalah besar terhadap hubungan mereka.

“Bagi saya, lebih baik begini sebab tidak mengganggu kehidupan masing-masing. Lagipun, pegangan saya dan Fizz sama iaitu kami tidak akan punya banyak masa untuk diluangkan seperti pasangan bercinta yang lain.

“Sebab itu kami sedar bahawa masing-masing punya tanggungjawab terhadap keluarga dan masa terluang kami lebih bermakna jika dapat dihabiskan bersama mereka.

“Malah, jujur saya katakan saya berasa lebih gembira pada hari raya tahun ini kerana tidak perlu memikirkan masalah kami yang menimpa sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Pemilik nama sebenar Almy Nadia Shaiful Khairil, 25, ini menyifatkan bahawa selagi tiada ikatan antara mereka, selagi itulah mereka tidak mahu terlalu menceritakan hal mereka. Malah, sempat juga Almy berkongsi cerita keindahan beraya di kampungnya.

“Pagi raya meriah dengan telatah adik beradik apabila kami sibuk bercerita tentang aktiviti beraya semasa zaman kanak-kanak dahulu.

“Jika dulu, kami dan sepupu antara insan yang paling seronok ketika itu. Mana tidaknya, belum pun pergi sembahyang raya sudah rancang mahu pergi buat ‘collection’ duit raya,” kata Almy yang sangat merindui saat-saat itu.



Kamal, Intan sambut raya berjauhan

Menarik apabila mendengar cerita hari raya pasangan pelakon Kamal Adli dan Intan Ladyana.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 25, berkata, tahun ini giliran keluarganya beraya di kampung bapanya di Jitra, Kedah.

Katanya, paling seronok pagi raya apabila dia sekeluarga berjalan kaki ke masjid yang terletak tidak jauh dari rumah kampungnya.

“Selepas selesai sembahyang raya, kami menziarahi kubur datuk dan nenek yang dikebumikan di tanah perkuburan di kampung ini.

“Bagi saya, pengalaman beraya di kampung ibu dan ayah memang berbeza kerana di Jitra, kami semua membakar lemang walaupun pada hari raya pertama. Percaya atau tidak, saya berjaya membakar beberapa batang lemang dengan baik.

“Tahun lalu beraya di kampung ibu di Pekan, Pahang. Suasana di sana ada meriahnya juga walaupun tidak seperti di Jitra apabila setiap malam hari raya rumah akan riuh rendah dengan bualan saudara mara,” katanya kepada Zass.

Kamal berkata, sehingga hari raya ketiga, sempatlah dia menghabiskan biskut raya kegemaran yang wajib ada di kampungnya itu seperti biskut semprit, tart nenas dan cornflakes madu.

Asyik bercerita perihal Kamal, apa pula cerita hari raya Intan Ladyana apabila sambutan oleh pelakon manja ini berbeza dengan kekasihnya itu.

Ketika dihubungi, Intan berkata, seperti kebiasaan dia dan keluarga berhari raya di kampung halaman di Bangkok, Thailand.

Menurutnya, kebanyakan saudara maranya tinggal dan menetap di sana. Oleh sebab itu, setiap kali Syawal hampir menjelang, hatinya sudah berada di negara tersebut.

Yang menariknya, Intan Ladyana atau Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 29, berkata, suasana sambutan hari raya di sana tidak seperti di Malaysia.

“Di sini (Bangkok) kami tidak memasak juadah hari raya. Sambutan juga tidak semeriah di Malaysia kerana selepas sembahyang raya, kami akan bersarapan pagi dengan menu kebiasaan di sini seperti roti.

“Budaya di sini memang begini kerana masyarakat beragama Islam hanyalah sebilangan kecil sahaja. Tetapi kami masih ada amalan berkunjung-kunjungan,” katanya.

Walaupun tiada suasana hari raya seperti di Malaysia yang meriah apabila kanak-kanak bermain bunga api dan hidangan pelbagai juadah, tetapi beraya di Bangkok katanya masih ada keistimewaannya.

“Semasa berkumpul dengan saudara mara pada hari raya pertama, masing-masing akan membawa hadiah untuk ditukar antara satu sama lain. Ia sudah menjadi tradisi keluarga kami di sini.

“Malah, jika di Malaysia umat Islam menikmati juadah hari raya dengan ketupat dan rendang, kami di sini istimewa dengan masakan berunsurkan sup seperti mihun sup dan 'pat tai',” katanya.

Sementara itu, kedua-dua pasangan pelakon ini katanya, akan beraya bersama dan saling bermaaf-maafan apabila sudah pulang dari kampung halaman masing-masing.

Jika Kamal pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya ketiga, Intan pula akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari raya keempat sebelum mengatur pertemuan untuk sama-sama berkunjung ke rumah rakan-rakan.



Farid tunggu Diana

Raya tahun ini mungkin amat bermakna bagi pelakon dan pengarah berbakat besar, Farid Kamil, apabila dapat meraikan peminat serta rakan-rakan seperjuangan yang banyak memberi sokongan dalam majlis rumah terbuka.

Menurutnya, memandangkan dia dan keluarga menyambut Aidilfitri di Jitra, Kedah, majlis tersebut diadakan di sana pada raya ketiga.

Oleh itu Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 30, berkata, dia pastinya sibuk melayan tetamu yang hadir pada majlis khas yang diadakan bagi meraikan kejayaan dan berkongsi bonus yang diterima filem kedua arahannya iaitu Kongsi.

“Alhamdulillah, ada rezeki lebih pada tahun ini. Jadi, dapatlah berkongsi dengan peminat dan rakan-rakan dengan mengadakan majlis rumah terbuka ini.

“Saya seronok lihat ramai tetamu hadir meraikan majlis yang diadakan ini. Malah, juadah wajib hari raya yang disediakan seperti ketupat, rendang, lemang dan beberapa lagi cepat saja habis,” katanya yang menerima bonus RM50,000 daripada David Teo.

Ketika ditanya tentang buah hatinya, Diana Danielle, Farid berkata, dia sudah menjemput buah hatinya ke rumah terbukanya itu, namun masih belum pasti sama ada, Diana akan hadir atau tidak memandangkan jarak kampung mereka terlalu jauh.

Sementara Diana, yang beraya di Kuala Lumpur pada tahun ini, berkata, dia tidak kesempatan untuk memenuhi jemputan Farid, kerana cuti rayanya terlalu pendek.

Menurutnya, dia cuma dapat berehat lebih kurang seminggu dalam bulan ini kerana terlibat dengan penggambaran telemovie berjudul Selepas 21 Hari arahan Jinggo.

“Jadi, waktu untuk saya beraya juga sangat terhad dan nampaknya seperti tidak sempat berjumpa Farid di rumah terbukanya. Malah, selepas beraya di Kuala Lumpur, saya beraya pula di kampung, di Taiping, Perak,” katanya kepada Zass.

Bercerita mengenai juadah yang digemari pula, Diana berkata, semua yang dihidangkan ibu serta saudaranya di kampung enak.

Istimewanya, katanya, rakan dan jiran yang tidak pulang ke kampung akan datang mengunjungi mereka sekeluarga di pagi raya di Kuala Lumpur.

“Apa pun beraya di kampung bersama sanak saudara lebih istimewa kerana suasana raya lebih dirasai. Malah, banyak memori bersama arwah datuk dan nenek.

“Sebab itu kalau dapat balik sekejap sudah memadai untuk ubat kerinduan,” kata Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 20,
Kredit: Sumber